SKKSAB PENERAJU SUKAN BOLA SEPAK DRON DI JOHOR

Pasukan SKKSAB mewakili Iskandar Puteri muncul naib juara kategori terbuka Brushed dalam Kejohanan Malaysia-Singapore Drone Soccer Friendship Cup 2026 hasil dedikasi guru Bahasa Inggerisnya, Ahmad Bakhtiar Abu Bakar yang berjaya menterjemahkan asas kejuruteraan daripada Kelab Robotik sekolah kepada kecemerlangan dalam sukan bola sepak dron.

 

#IskandarPuteri = Sekolah Kebangsaan Kompleks Sultan Abu Bakar (SKKSAB) mewakili Iskandar Puteri muncul naib juara kategori terbuka Brushed dalam Kejohanan Malaysia-Singapore Drone Soccer Friendship Cup 2026 yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri.

 

Inovasi yang dibawa oleh Ahmad Bakhtiar Abu Bakar membuktikan bagaimana dedikasi seorang guru Bahasa Inggeris mampu menterjemahkan asas kejuruteraan daripada Kelab Robotik SKKSAB kepada sukan berprestasi tinggi seperti bola sepak dron (Drone Soccer) pada tahun 2025.

 

Kejayaan Bakhtiar atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Bad dalam pertandingan ‘Robot Sumo’ memberikan batu loncatan yang kukuh untuk menguasai dinamik sukan bola sepak dron selepas mewakili negara dalam kategori Sumo Autonomous 500G di All Japan Robot Sumo Tournament 2024 berlangsung di Tokyo, Jepun. Kejayaan tersebut juga telah memberi keyakinan kepada pasukan bahawa pelajar-pelajar SKKSAB mempunyai bakat yang boleh digilap ke peringkat antarabangsa.

 

Tuah menyebelahi Cikgu Bad selaku pengurus pasukan Drone Soccer SKKSAB apabila anak didik beliau menjuarai pertandingan Drone Soccer di International Youth Robotic Competition (IYRC) Asean 2025 di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri.

 

Kejayaan berprestij ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah membuktikan bahawa dedikasi dan bimbingan mantap di peringkat akar umbi mampu melahirkan pakar teknologi dron muda yang berdaya saing di peringkat global.

 

“Sukan Drone Soccer ini secara tidak langsung telah membuat pelajar saya meningkatkan fokus untuk membuat sesuatu, selain daripada mendidik pelajar untuk merangka strategi, meningkatkan disiplin serta memupuk semangat kerja berpasukan,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Anak didik Cikgu Bad juga telah meraih pingat gangsa dan dikurniakan anugerah ‘Fair Play’ di Piala Dunia FIDA 2025 dalam acara Drone Soccer Class 20 yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan pada September 2025. Kejohanan piala dunia tersebut telah menghimpunkan lebih 2,500 peserta daripada 32 buah negara membuktikan bakat muda Johor mampu bersaing dalam teknologi dron di peringkat dunia.

 

“Kami berbangga menjadi satu-satunya wakil sekolah rendah yang mewakili negara untuk bertanding di Piala Dunia. Walaupun pelajar SKKSAB perlu berhadapan dengan pemain dewasa dan berpengalaman, mereka telah membuktikan bahawa anak muda Johor boleh bersaing dengan negara maju dan membawa nama Johor ke peringkat dunia,” ujar Cikgu Bad.

 

Program Drone Soccer adalah satu inisiatif sukan elektronik berteknologi tinggi yang menggabungkan elemen rekreasi dan pendidikan. Ia juga melangkaui aktiviti penerbangan biasa dengan menerapkan kemahiran STEM secara holistik seperti aerodinamik, pengaturcaraan, elektronik dan kejuruteraan aeroangkasa dalam persekitaran yang menyeronokkan.

 

Sukan bola sepak dron kini semakin berkembang menjadi platform sukan elektronik berteknologi tinggi berasaskan STEM di Negeri Johor. Usaha murni untuk meluaskan liputan dan melahirkan pelapis muda terus rancak digerakkan bagi membolehkan wakil negeri ini bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

 

#JohorSafeZone
#DroneSoccer
#SKKSAB
#OrangMudaJohor
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor