JETP SASAR CIPTA LEBIH 200,000 PEKERJAAN BAHARU BERKUALITI MENJELANG 2030

Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) menyasarkan lebih 200,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi menjelang 2030, sekali gus meningkatkan guna tenaga negeri kepada 2.277 juta pekerjaan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) menyasarkan untuk mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu yang berkualiti tinggi menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan pelaburan dalam sektor-sektor keutamaan di negeri ini.

 

Sasaran itu akan meningkatkan jumlah guna tenaga Johor daripada 2.077 juta pekerjaan pada tahun 2024 kepada 2.277 juta pekerjaan menjelang 2030.

 

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 50,000 pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi pertumbuhan ekonomi organik manakala 150,000 lagi akan dijana melalui pelaksanaan intervensi strategik JETP.

 

Pewujudan pekerjaan baharu itu didorong oleh pelan pembangunan lapan sektor keutamaan yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Johor sehingga tahun 2030.

 

Sektor tersebut meliputi kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, tenaga, elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, logistik, pelancongan serta pertanian.

 

Selain itu, Johor juga turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pelaksanaan Program TVET Bersepadu Johor yang dipacu keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mudah mendapat pekerjaan.

 

Program itu juga akan melibatkan kerjasama dengan pelbagai syarikat multinasional (MNC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), JSkills serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam pembangunan kurikulum, pensijilan dan penempatan pekerjaan.

 

JETP turut mencadangkan Dasar Gaji Berkait Produktiviti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi meningkatkan pendapatan pekerja, sekali gus berupaya mengurangkan penghijrahan bakat ke negara jiran serta dapat memastikan pertumbuhan gaji yang mampan selaras dengan peningkatan produktiviti.

 

Pelan itu turut menetapkan sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor kepada RM260 bilion dan KDNK per kapita melebihi RM69,000 menjelang tahun 2030, sekali gus meletakkan negeri ini pada landasan ekonomi berpendapatan tinggi.

 

#JohorSafeZone
#PelanTransformasiEkonomiJohor
#JETP
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor