JOHOR LANTIK 10 TIMBALAN EXCO PERKUKUH PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

Kerajaan Johor melantik 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) bagi memperkukuh pentadbiran negeri, sekali gus memastikan pelaksanaan Agenda Maju Johor 2030, JETP dan manifesto Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan demi manfaat Bangsa Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor melantik 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kapasiti pentadbiran di negeri ini, sekali gus memastikan proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan dan menyeluruh.
Pelantikan Timbalan EXCO ini merupakan langkah strategik bagi memperkukuh gerak kerja pentadbiran dalam merealisasikan Agenda Maju Johor 2030, terutama membabitkan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), serta memastikan setiap manifesto Kerajaan Negeri dapat diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat besar kepada Bangsa Johor.
Pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, susulan keperluan untuk memperkukuh kapasiti pentadbiran bagi memastikan setiap dasar, projek serta program Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.
Selain itu, setiap Timbalan EXCO turut diamanahkan untuk membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan, mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memastikan setiap inisiatif Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan secara efektif dan berkesan.
Semua Timbalan EXCO juga perlu bekerjasama rapat dengan EXCO, jabatan dan agensi berkaitan dalam memantau pelaksanaan projek serta program, menyelaraskan tindakan di lapangan dan memastikan setiap manfaat yang dirancang sampai ke peringkat akar umbi.
Barisan Timbalan EXCO yang dilantik terdiri daripada YB Tuan Zaidi Japar sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YB Puan Nadhirah Afiqah Abdullah Rahim (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi); YB Tuan Anuar Abd. Manap (Hal Ehwal Agama Islam); YB Tuan Mohd Youzaimi Yusof (Kesihatan dan Alam Sekitar); serta YB Tuan Syed Hussien Syed Abdullah (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia).
Turut dilantik ialah YB Datuk Mohamad Najib Samuri sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi; YB Puan Chan San San (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); YB Tuan Sahrihan Jani (Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar); YB Tuan Chua Jian Boon (Perpaduan, Warisan dan Budaya); serta YB Tuan Rugendran Vellayan (Pendidikan dan Penerangan).
Terdahulu, pelantikan 10 Timbalan EXCO Kerajaan Negeri Johor itu diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, pada sidang media khas di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


