KLINIK KESIHATAN IBU DAN ANAK KULAI BEROPERASI DI LOTUS KULAI MULAI 3 OGOS

KKIA Kulai akan mula beroperasi di Lotus Kulai pada 3 Ogos menerusi konsep Klinik Decanting, sekali gus meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, selesa dan berkualiti kepada lebih 92,000 penduduk. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kulai akan mula beroperasi di Lotus Kulai pada 3 Ogos ini menerusi peluasan konsep ‘Klinik Decanting’ bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, selesa dan berkualiti kepada Bangsa Johor.

 

Projek bernilai RM1.19 juta itu kini telah mencapai kemajuan sebanyak 78 peratus dan berada di landasan yang baik untuk mula beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan, sekali gus berupaya meningkatkan kapasiti perkhidmatan kepada lebih 92,000 penduduk dengan purata 852 pesakit setiap hari, termasuk sekitar 281 pesakit bagi perkhidmatan berkenaan.

 

Kemudahan baharu itu akan menyediakan persekitaran rawatan kesihatan yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada ibu, bayi serta kanak-kanak, di samping memudahkan petugas kesihatan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, teratur dan berkualiti kepada Bangsa Johor.

 

Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Pejabat Kesihatan Daerah Kulai, pihak pengurusan Lotus Kulai serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan projek berkenaan.

 

Pada masa sama, Kerajaan Johor berharap KKM akan terus memberikan perhatian terhadap keperluan perjawatan petugas kesihatan di negeri ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat diperkukuh seiring dengan penambahbaikan fasiliti kesihatan di negeri ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke projek Klinik Decanting Unit Ibu dan Anak Klinik Kesihatan Kulai bagi meninjau sendiri kemajuan projek yang dijadual mula beroperasi pada 3 Ogos ini.

 

#JohorSafeZone
#KKKulai
#UnitIbuDanAnak
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor