KERAJAAN JOHOR KOMITED MENJAYAKAN PROJEK JALAN BEKOK – PALOH


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han meluangkan masa bertemu penduduk Bekok menerangkan Projek Jalan Bekok-Paloh | Sumber Facebook Lee Ting Han.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri komited menjayakan projek jalan menghubungkan Paloh ke Bekok untuk manfaat masyarakat setempat.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han berkata, projek berskala besar itu menuntut keselarian dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan untuk menjayakannya.

Menurut beliau, projek Jalan Bekok – Paloh yang dijangka memacu sektor pelancongan setempat itu telah lama dirancang sebelum berlakunya pertukaran kerajaan pada tahun 2018.

“Ia memberi banyak manfaat kepada penduduk tempatan khususnya pekebun kecil untuk mengeluarkan hasil mereka. Projek ini juga dijangka dapat memacu industri pelancongan di Bekok dan Paloh.

“Sejak kerajaan negeri yang dipimpin oleh Yang Berhormat Hasni Mohammad pada 2020 dan seterusnya Yang Amat Berhormat Onn Hafiz Ghazi setelah PRN (Pilihan Raya Negeri) 2022, projek ini telah diaktifkan balik dan telahpun dimulakan pada 6 September 2022,” katanya.

Terdahulu, dianjurkan sesi townhall Projek Jalan Bekok – Paloh di Dewan Serbaguna Bekok yang telah dihadiri oleh masyarakat setempat.

Ting Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor berkata, projek tersebut memerlukan peruntukan besar iaitu RM140 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ia juga melibatkan pengambilan tanah di sepanjang jajaran projek.

“Oleh itu, saya merayu kepada penduduk Parlimen Labis khususnya kawasan Bekok serta Parlimen Sembrong terutama kawasan Paloh untuk memilih #KestabilanDanKemakmuran supaya kita dapat Kerajaan Persekutuan yang selari dengan Kerajaan Negeri pada 19 November 2022 nanti,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor