TABIKA KEMAS BANGSA JOHOR BAKAL DIPERLUASKAN KE KLUANG

Peluasan inisiatif Tabika KEMAS Bangsa Johor turut dicadangkan melibatkan dua lokasi baharu iaitu di daerah Kota Tinggi dan Kluang pada 2027. | Foto FB Israk Abdullah
#Kluang – Daerah Kluang berpotensi untuk menjadi antara lokasi perluasan inisiatif Tabika KEMAS Bangsa Johor pada 2027, sekali gus memperkukuh akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, khususnya bagi masyarakat yang berada di kawasan luar bandar.
Cadangan itu adalah hasil daripada lawatan kerja YB Tuan Haji Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor ke daerah Kluang pada 8 Oktober lalu, yang turut merangkumi tinjauan ke Tabika KEMAS Kampung Sahari, di Simpang Renggam.
Inisiatif Tabika KEMAS Bangsa Johor dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan berkualiti kepada kanak-kanak, khususnya dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan Bangsa Johor.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut berperanan sebagai saluran awal kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi memastikan kanak-kanak memperoleh asas pendidikan yang kukuh sebelum melangkah ke peringkat persekolahan seterusnya.
Pada 2026, dua daripada empat Tabika KEMAS Bangsa Johor telah siap dibangunkan di Johor Bahru, iaitu Tabika KEMAS Larkin Court dan Tabika KEMAS Desa Muafakat yang masing-masing melibatkan peruntukan sebanyak RM1.20 juta daripada keseluruhan RM4.19 juta yang diperuntukkan bagi inisiatif berkenaan.
Peruntukan itu merangkumi penyediaan peralatan serta pelaksanaan kursus dan latihan, manakala dua lagi Tabika KEMAS Bangsa Johor masih dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap pada suku pertama 2027.
Sehubungan itu, peluasan inisiatif berkenaan turut dicadangkan melibatkan dua lokasi baharu iaitu di daerah Kota Tinggi dan Kluang pada 2027, sebagai langkah memperluas peluang pendidikan awal yang berkualiti kepada lebih ramai kanak-kanak di negeri ini.
Usaha berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan fizikal, malah menekankan kepentingan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik bagi membantu perkembangan kanak-kanak sejak usia awal, selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030.
#KEMAS
#TabikaKEMASBangsaJohor
#PendidikanJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


