JOHOR LANJUT PENUTUPAN SEKOLAH DAN INSTITUSI PENDIDIKAN HINGGA 16 OKTOBER INI

YB Dr. Muhammad Naqib bin Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, mengumumkan pelanjutan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor selama lima hari susulan kemerosotan kualiti udara menerusi kenyataan media hari ini. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Negeri Johor akan terus ditutup selama lima hari, bermula 12 hingga 16 Oktober ini, susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan terus terpelihara.
Keputusan Kerajaan Negeri ini dibuat dengan menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan Bangsa Johor, khususnya murid serta warga pendidikan.
Pelanjutan penutupan berkenaan mengambil kira jangkaan pergerakan angin terkini dari Kalimantan, Indonesia, pada 13 hingga 15 Oktober ini, risiko peningkatan kepekatan partikel halus serta keadaan atmosfera yang boleh menyebabkan jerebu berlarutan.
Selain itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dilaporkan berada pada sekitar 170 hingga 180 tanpa perubahan ketara turut menunjukkan bahawa kualiti udara masih berada pada tahap tidak sihat dan memerlukan pemantauan berterusan.
Sepanjang tempoh penutupan sekolah dan institusi pendidikan ini, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan mengikut kesesuaian, manakala pentaksiran dan penilaian akademik di sekolah terlibat akan ditangguhkan serta dijadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pihak berkuasa pendidikan berkaitan.
Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU bagi menentukan tindakan selanjutnya berdasarkan keadaan kualiti udara serta penilaian keselamatan dan kesihatan semasa.
Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar anak-anak, memastikan pengambilan air yang mencukupi serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sekiranya mereka mengalami gejala kesihatan seperti batuk berpanjangan, sakit tekak atau kesukaran bernafas.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib bin Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, mengumumkan pelanjutan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor selama lima hari susulan kemerosotan kualiti udara menerusi kenyataan media hari ini.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#PendidikanBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


