NADMA LAKSANA OPERASI PEMBENIHAN AWAN DI JOHOR BAHRU

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor pada Forum Iklim Kebangsaan (FIK) 2026 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan hari ini di Johor Bahru sebagai antara langkah menangani situasi jerebu semasa, menerusi kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Operasi ini bertujuan untuk merangsang pembentukan hujan melalui kaedah pembenihan awan, tertakluk kepada kesesuaian keadaan meteorologi, bagi membantu mengurangkan kesan jerebu yang melanda kawasan terlibat.
Selain itu, pemantauan berterusan terhadap keadaan cuaca, termasuk arah dan kelajuan angin, terus dilaksanakan bagi menilai pergerakan jerebu serta memperkukuh penyelarasan tindakan antara agensi Persekutuan dan Negeri agar langkah yang diambil bersesuaian dengan situasi semasa.
Setakat hari ini, situasi jerebu tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam kes kesihatan berkaitan jerebu, namun orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya ketika keadaan kualiti udara berada pada tahap yang kurang baik.
Sementara itu, penganjuran Forum Iklim Kebangsaan (FIK) 2026 di Johor turut menyokong aspirasi Bulan Kesiapsiagaan Nasional dalam membudayakan kesiapsiagaan serta memperkukuh tindakan awal menghadapi bencana menerusi perkongsian maklumat cuaca dan iklim yang tepat serta perancangan yang rapi.
Pemilihan Johor sebagai lokasi penganjuran forum itu juga bertepatan dengan persediaan negara dalam menghadapi ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan dan meningkatkan risiko banjir di kawasan berisiko, termasuk di Johor.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, hadir merasmikan Forum Iklim Kebangsaan (FIK) 2026 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, hari ini.
Hadir sama, YBrs. Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, Ketua Pengarah MET Malaysia dan YBrs. Tuan Saiful Yazan Alwi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) NADMA.
#JohorSafeZone
#PembenihanAwan
#METMalaysia
#Jerebu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



