KERAJAAN JOHOR PERCEPAT TINDAKAN PEMULIHAN TEBING DI INDAHPURA

Kerajaan Johor akan memohon peruntukan kecemasan antara RM2 juta hingga RM2.5 juta bagi kerja pemulihan susulan insiden kegagalan tebing di Perumahan Teratai, Indahpura, Kulai. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#Iskandar Puteri – Kerajaan Johor akan memohon peruntukan kecemasan antara RM2 juta hingga RM2.5 juta bagi melaksanakan kerja pemulihan susulan insiden kegagalan tebing di kawasan Perumahan Teratai, Indahpura, Kulai yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Permohonan peruntukan itu akan dikemukakan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai untuk pertimbangan di bawah Tabung Bencana Negeri Johor bagi memastikan kerja pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera.
Sejurus menerima aduan daripada Ahli Majlis kawasan berkenaan, lawatan awal telah dilaksanakan sebelum satu lagi lawatan penyelarasan diadakan pada pagi ini bersama YBhg Tuan Haji Fizwan Dato’ Hj Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai, YBhg Tuan Haji Muhammad Shahril Azizi Abd. Gapar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) serta pihak konsesi SAFWA.
Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada keadaan struktur tebing yang runtuh, kestabilan jalan berhampiran serta risiko pergerakan tanah susulan yang boleh mengancam keselamatan penduduk dan juga pengguna jalan raya.
Dalam perkembangan sama, pihak konsesi telah diarahkan supaya memuktamadkan reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi teknikal dalam tempoh dua minggu sebagai persediaan melaksanakan kerja-kerja pemulihan.
Antara langkah yang dirancang termasuk pelaksanaan kerja cerucuk serta penilaian geoteknik, keadaan tanah dan sistem saliran bagi memastikan kestabilan tebing dapat dipulihkan secara menyeluruh dan mengurangkan risiko kejadian daripada berulang pada masa akan datang.
Selain itu, kawalan akses, pemasangan penghadang keselamatan serta pemantauan berterusan terhadap rekahan dan pergerakan tanah turut diberi perhatian sepanjang kerja pemulihan dilaksanakan bagi melindungi penduduk setempat.
Kerajaan Negeri juga kekal komited memastikan aspek keselamatan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur, selaras dengan agenda Maju Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Terdahulu, lawatan penyelarasan tersebut turut melibatkan YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ahli Majlis kawasan, pihak konsesi SAFWA serta agensi teknikal dan penguatkuasaan bagi mempercepat tindakan susulan dan memastikan kawasan terjejas kembali selamat untuk penduduk.
#Kulai
#KeselamatanRakyat
#InfrastrukturJohor
#MPKu
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


