TAMPOI BERPOTENSI JADI LITTLE INDIA DAN HAB PERNIAGAAN

Kawasan Tampoi berpotensi dibangunkan sebagai pusat perniagaan masyarakat India seumpama Little India di Johor Bahru, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada usahawan kecil dan menarik kehadiran pengunjung, susulan cadangan yang telah dibincangkan bersama Menteri Besar Johor menerusi mesyuarat task force. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kawasan Tampoi dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai satu lagi pusat tumpuan perniagaan masyarakat India di Johor, seperti ‘Little India’ di pusat bandar raya Johor Bahru, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan kecil serta menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
YB Tuan P Pannirselvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, menjelaskan cadangan membangunkan kawasan berkenaan sebagai pusat perniagaan masyarakat India telah dibincangkan bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menerusi mesyuarat task force sebelum ini.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk penyediaan tapak gerai perniagaan khusus untuk usahawan kecil masyarakat India serta cadangan pembinaan sebuah dewan serbaguna di kawasan Tampoi.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan masih berada dalam peringkat perbincangan, khususnya bagi mengenal pasti lokasi yang bersesuaian dan mampu memberikan manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.
Dalam pada itu, rancangan pembangunan kawasan berkenaan secara lebih tersusun berpotensi untuk menjadikan Tampoi sebagai satu lagi destinasi pelancongan budaya, di samping memperluaskan jaringan peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.
Potensi tersebut turut diakui pengunjung, Bharathan, 67, yang berpandangan perkembangan perniagaan masyarakat India di Tampoi bukan sahaja menarik pelanggan daripada pelbagai kaum, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang menyumbang kepada ekonomi setempat.
Sementara itu, pengusaha Vaanavil Art and Craft, Vaaneeswary Anandhan, 37, berkata penyertaannya dalam bazar Tampoi membantu meningkatkan perkembangan perniagaan menerusi pertambahan pelanggan, termasuk pengunjung dari Singapura.
Tambahnya, persekitaran perniagaan yang semakin berkembang di kawasan itu memberikan ruang kepada usahawan masyarakat India untuk memperluaskan pasaran serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada lebih ramai pelanggan.
Secara keseluruhannya, potensi pembangunan Tampoi sebagai pusat perniagaan yang lebih tersusun mampu membuka ruang pertumbuhan ekonomi kepada usahawan kecil, selain memperkukuh kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti Bangsa Johor.
#Tampoi
#LittleIndia
#EkonomiJohor
#PelanconganBudaya
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



