PENDEDAHAN AWAL STEM PERSIAP BAKAT MUDA JOHOR HADAPI INDUSTRI MASA HADAPAN

Seramai 49 pelajar Tingkatan Empat menyertai Program STEM: Future Tech Builders anjuran JSkills dengan kerjasama Tera DC bagi memberi pendedahan kepada bidang STEM, khususnya berkaitan operasi dan sistem pusat data. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Seramai 49 pelajar Tingkatan Empat menyertai Program STEM: Future Tech Builders anjuran Johor Skills (JSkills) dengan kerjasama Tera Data Centre (Tera DC) yang berlangsung di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, hari ini.
Program berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar, khususnya berkaitan operasi serta sistem yang digunakan dalam sesebuah pusat data.
Selain itu, menerusi kerjasama itu juga membolehkan pelajar berpeluang memahami asas pengoperasian pusat data serta meneroka sistem ‘coding’ dan pengaturcaraan melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal dan interaktif.
Menariknya, setiap peserta turut menerima edu-kit yang dilengkapi dengan papan pengembangan EDU:BIT berserta modul input dan output yang boleh dipisahkan, motor, kabel, bahan permainan dan buku panduan projek yang mengandungi 10 modul pembelajaran asas pengaturcaraan.
Menerusi modul tersebut, pelajar didedahkan kepada asas pengaturcaraan, penggunaan sensor, sistem input dan output digital, kawalan motor serta komunikasi radio dengan lebih mudah dan menyeronokkan.
Inisiatif ini diharap dapat menyemai minat generasi muda terhadap bidang STEM, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan bakat tempatan dalam sektor sains dan teknologi, khususnya industri pusat data yang semakin berkembang di Johor.
Kerjasama antara JSkills dan Tera DC turut mencerminkan kepentingan penglibatan pemain industri dalam memperluas pendedahan pendidikan berasaskan teknologi di peringkat sekolah, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Johor melahirkan generasi yang berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.
#STEM
#FutureTechBuilders
#JohorSkills
#TeraDataCentre
#PendidikanBangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


