KERAJAAN NEGERI PERKASA USAHA MERAPATKAN JURANG PEMBANGUNAN JOHOR UTARA

Kerajaan Johor terus memperkukuh pelaksanaan JETP bagi memastikan limpahan ekonomi daripada kawasan pembangunan utama termasuk inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut dinikmati daerah-daerah lain. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara Johor Utara dan Selatan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dengan memberi tumpuan kepada kemasukan pelaburan baharu, pembangunan infrastruktur strategik serta peluasan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Antara usaha yang sedang digerakkan termasuk pembangunan Segamat sebagai hab pertanian, sekuriti makanan dan logistik, selain memperkukuh sektor industri serta tenaga boleh diperbaharui bagi menjadikan kawasan utara Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu.
Menerusi sektor tenaga boleh diperbaharui, projek ladang solar oleh Lestra-Hexa JV Sdn Bhd di Mukim Sermin, Segamat yang melibatkan pelaburan RM3.3 bilion dengan kapasiti 866 megawatt-peak (MWp) dijangka menyediakan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan apabila ia mula beroperasi kelak.
Selain itu, projek IOI Coconut Oil Sdn Bhd Fasa 2 bernilai RM130 juta di kawasan Sungai Segamat, Kemelah dan Sekijang dijangka turut mewujudkan 117 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh industri pemprosesan berasaskan hasil pertanian tempatan.
Usaha pelaburan turut disokong pembangunan Segamat Inland Port (SIP) sebagai hab logistik strategik yang mengintegrasikan pengangkutan jalan raya dan kereta api, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan Zon Keterjaminan Makanan seluas kira-kira 2,000 hektar di Segamat, selain RM32.12 juta yang telah diluluskan bagi melaksanakan 27 projek pembangunan agromakanan di Johor pada tahun ini.
Kerajaan Johor terus memperkukuh pelaksanaan JETP bagi memastikan limpahan ekonomi daripada kawasan pembangunan utama termasuk inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut dinikmati daerah-daerah lain.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab mengenai usaha merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara kawasan Johor Utara dengan Johor Selatan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


