JOHOR BERSIH DIPERKUKUH, PENGUATKUASAAN SAMPAH HARAM DILAKSANAKAN BERSEPADU

Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), SWCorp, SWM Environment, agensi kerajaan, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta bagi memastikan tahap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal di seluruh negeri ini terus diperkasa. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh pelaksanaan Kempen Johor Bersih menerusi pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu bagi menangani isu pembuangan sampah haram di kawasan perumahan, tanah kosong dan sungai.
Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), SWCorp, SWM Environment, agensi kerajaan, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta bagi memastikan tahap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal di seluruh negeri ini terus diperkasa.
Bagi tempoh Januari 2025 hingga Oktober 2026, SWCorp Negeri Johor telah melaksanakan 1,196 operasi penguatkuasaan yang membawa kepada 32 tangkapan dan 34 kes pendakwaan, dengan jumlah denda sebanyak RM585,000.
Dalam tempoh Januari hingga Oktober 2026 pula, sebanyak 3,776 operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah kecil telah dilaksanakan, dengan 3,513 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan, selain 204 kes diputuskan oleh mahkamah dan 198 pesalah diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) berjumlah 1,161 jam.
Di peringkat PBT, sebanyak 170 notis dan 4,192 kompaun bernilai RM1.127 juta direkodkan bagi tempoh 2025 hingga September 2026, manakala Kerajaan Negeri bersama SWCorp dan PBT akan terus memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan, khususnya di lokasi panas pembuangan sampah haram, selaras dengan agenda Johor Bersih.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, menjawab soalan berkaitan penguatkuasaan pembuangan sampah haram dan pengukuhan Kempen Johor Bersih pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



