JOHOR PERUNTUK RM63 JUTA NAIK TARAF TAMAN AWAM, KEMUDAHAN RIADAH

Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM63 juta bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan taman awam menerusi inisiatif Taman Komuniti Bangsa Johor pada 2027, sebagai usaha untuk menyediakan ruang rekreasi yang berkualiti, selesa dan selamat untuk seluruh rakyat di negeri ini. / Foto MDJ Nazreen Aimie
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM63 juta bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan taman awam menerusi inisiatif Taman Komuniti Bangsa Johor pada 2027, sebagai usaha untuk menyediakan ruang rekreasi yang berkualiti, selesa dan selamat untuk seluruh rakyat di negeri ini.
Ia merangkumi RM53.7 juta melalui peruntukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan RM9.3 juta daripada peruntukan Pembangunan Negeri Johor, selaras dengan agenda Maju Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, yang menekankan pembangunan negeri mesti memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan seharian rakyat.
Bagi daerah Segamat, antara projek yang dirancang ialah penaiktarafan Taman Rekreasi Sungai Kapeh dengan peruntukan RM1.5 juta serta pembinaan Taman Tema Mini Air di Taman Rekreasi IOI yang melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menambah pilihan lokasi riadah untuk penduduk setempat.
Inisiatif Taman Komuniti Bangsa Johor akan berteraskan empat komponen utama iaitu identiti pintu masuk, pendidikan, rekreasi dan teknologi dengan turut memberi penekanan kepada elemen landskap, keselamatan serta kemudahan komuniti.
Antara kemudahan yang dirancang termasuk laluan joging, taman permainan inklusif, peralatan senaman luar, gazebo dan ruang riadah keluarga, selain cadangan penyediaan Wi-Fi percuma, lampu solar LED, pencahayaan pintar, CCTV, butang kecemasan serta sistem pengurusan sisa pintar mengikut kesesuaian lokasi.
Komponen pendidikan pula akan diterapkan melalui papan informasi flora dan fauna, sudut bacaan serta denai pendidikan alam semula jadi, sekali gus menjadikan taman awam bukan sahaja sebagai tempat beriadah, malah ruang pembelajaran dan interaksi masyarakat.
Usaha menaik taraf taman awam turut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kemudahan rekreasi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerusi penyediaan ruang yang lebih mesra, selamat dan mudah diakses.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, menjawab soalan YB Tuan Anuar l Abd. Manap, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pemanis berkaitan perancangan penambahbaikan taman awam, kawasan rekreasi dan kemudahan riadah di seluruh Johor, khususnya Segamat, pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027), Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#TamanKomunitiBangsaJohor
#Segamat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



