1,298 SYARIKAT BAHARU MILIKI SIJIL HALAL, BUKTI EKOSISTEM PKHNJ BUAHKAN HASIL

Kerajaan Negeri menyasarkan menjelang 2030 sebanyak 5,000 syarikat baharu memperoleh pensijilan halal, selain menarik RM5 bilion pelaburan terkumpul, menjana RM18 bilion eksport halal dan menyumbang RM24 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri. | Foto MDJ Nazreen Aimie.
#IskandarPuteri – Usaha Kerajaan Johor memperkukuh industri halal di negeri ini menerusi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030 mula membuahkan hasil apabila sebanyak 1,298 permohonan baharu Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada usahawan dan syarikat di Johor diluluskan sejak pelan berkenaan diperkenalkan.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara apabila Johor merekodkan 133 pensijilan halal baharu pada 2024 sebelum ia meningkat kepada 561 pada 2025 dan 737 pada 2026 setakat 11 November, iaitu lebih lima kali ganda berbanding dua tahun lalu.
Selain itu, daripada 441 syarikat baharu yang memohon melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada tahun ini, sebanyak 342 syarikat atau 77.6 peratus merupakan usahawan Bumiputera, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan golongan berkenaan untuk meneroka peluang dalam industri halal.
Secara keseluruhan, Johor kini berada di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor dengan 1,743 pemegang SPHM aktif dan 4,321 sijil halal aktif, manakala 93 peratus permohonan berjaya diluluskan dalam tempoh 30 hari bekerja.
Pencapaian ini terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan PKHNJ 2030 yang menggariskan tujuh hala tuju strategik dan 21 inisiatif dengan penglibatan 33 agensi dalam Taskforce PKHNJ 2030 yang diselaraskan melalui kerjasama JAINJ dan Johor Halal Development Corporation (JHDC).
Kerajaan Negeri menyasarkan menjelang 2030 sebanyak 5,000 syarikat baharu memperoleh pensijilan halal, selain menarik RM5 bilion pelaburan terkumpul, menjana RM18 bilion eksport halal dan menyumbang RM24 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menjawab mengenai bilangan usahawan memiliki sijil halal sejak PKHNJ diperkenal pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



