KERAJAAN NEGERI KOMITED SELESAI BAKI 1,729 PERMOHONAN LOT KEDIAMAN GENERASI KEDUA FELDA

Menerusi Belanjawan Johor 2027, sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi memperkasa Sekretariat Muafakat FELDA Johor supaya aspek penyelarasan aduan, pemantauan isu dan tindakan susulan oleh jabatan serta agensi berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik. | Foto MDJ Nazreen Aimie
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan keseluruhan baki 1,729 permohonan berkaitan lot kediaman generasi kedua FELDA, selain memperkukuh penyelarasan isu dan kebajikan masyarakat peneroka menerusi Sekretariat Muafakat FELDA Johor.
Sehingga kini, sebanyak 11,094 lot kediaman generasi kedua FELDA telah diluluskan, manakala kesemua 27,642 hak milik tanah peneroka di 73 tanah rancangan FELDA di seluruh Johor juga telah mendapat geran hak milik masing-masing.
Selain itu, Kerajaan Negeri bersama FELDA turut memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi tujuan penyediaan infrastruktur asas melibatkan 424 tapak kediaman di FELDA Ayer Hitam, FELDA Bukit Easter dan FELDA Kemelah.
Bagi aspek kebajikan pula, sebanyak 50,332 bakul makanan bernilai RM5.03 juta telah disalurkan kepada warga peneroka dan kakitangan FELDA, selain Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada 2,548 Ketua Blok dengan peruntukan RM1.01 juta.
Selain itu, usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti itu turut merangkumi penyaluran geran pengurusan dan pentadbiran berjumlah RM1.09 juta kepada 73 Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR); 73 Gerakan Persatuan Wanita (GPW) dan 72 Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM).
Malah, menerusi Belanjawan Johor 2027 ini juga, sebanyak RM200,000 turut diperuntukkan bagi memperkasa Sekretariat Muafakat FELDA Johor supaya aspek penyelarasan aduan, pemantauan isu dan tindakan susulan oleh jabatan serta agensi berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.
Terdahulu, YB Tuan Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab mengenai permohonan lot kediaman generasi kedua FELDA pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


