KERAJAAN NEGERI JOHOR PERKASA KESEDARAN OKU, PERLUAS PELUANG EKONOMI GOLONGAN ISTIMEWA

Kerajaan Negeri mempergiat usaha dalam memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi peluasan program kesedaran, peningkatan aksesibiliti serta sokongan pembangunan ekonomi bagi memastikan golongan itu mendapat peluang dan layanan yang saksama dalam masyarakat. / Foto MDJ Nazreen Aimie
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mempergiat usaha dalam memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi peluasan program kesedaran, peningkatan aksesibiliti serta sokongan pembangunan ekonomi bagi memastikan golongan itu mendapat peluang dan layanan yang saksama dalam masyarakat.
Inisiatif berkenaan merangkumi pelaksanaan program ‘Disability Equality Training’ (DET) bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hak, keperluan dan cabaran golongan OKU, termasuk individu dengan autisme, disleksia, ADHD, sindrom down dan cerebral palsy.
Bagi tujuan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah meluluskan peruntukan khusus di bawah Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Johor (MTOJ) untuk melaksanakan program kesedaran dan kecaknaan OKU di seluruh negeri ini.
Selain itu, pelaksanaan Audit Akses turut diberi perhatian bagi meningkatkan pematuhan terhadap keperluan aksesibiliti, khususnya di kemudahan awam, premis perkhidmatan dan persekitaran fizikal selaras dengan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).
Bagi aspek pemerkasaan ekonomi pula, Kerajaan Negeri berusaha memperluas peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan keusahawanan melalui peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai penghubung antara golongan OKU dengan agensi berkaitan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, sektor swasta, majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menjadi antara pendekatan bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan golongan OKU dalam pasaran pekerjaan serta bidang keusahawanan.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan golongan OKU bukan sahaja menerima perlindungan dan bantuan kebajikan, malah mereka juga berpeluang mengembangkan potensi diri, menjana pendapatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial Johor.
Terdahulu, YB Puan Hajah Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027), Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#OKUBangsaJohor
#BelanjawanJohor2027
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



