KERAJAAN JOHOR KOMITED LAKSANA INISIATIF PENDIDIKAN DIGITAL


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pendidikan digital merupakan antara inisiatif perlu dilaksanakan kerajaan dalam usaha mencapai Agenda Pemerkasaan Pendidikan sebagai teras penting Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, menerusi inisiatif itu, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pelbagai usaha berkaitan.

“Meningkatkan penguasaan murid dalam teknologi digital, memperkaya kandungan digital yang berkualiti, memperkasa kompetensi guru dan membudayakan penggunaan teknologi digital, mengupayakan infrastruktur dan memperkukuh jalinan strategik,” pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz mengenai pelan kerajaan negeri untuk memberi akses pendidikan kepada Bangsa Johor melalui inisiatif secara digital.

Norlizah berkata, pada masa sama, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) pada ketika ini telah menjalankan beberapa usaha.

“Pertama, sentiasa menggalakkan pembudayaan digital dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Kedua, aktiviti pertandingan inovasi dalam kalangan guru dan aktiviti serta pertandingan kokurikulum dilaksanakan untuk menyemarakkan pembudayaan penggunaan teknologi.

“Ketiga, Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah membangunkan Gerbang Pendidikan Digital untuk digunakan oleh warga pendidikan khususnya guru dan murid. Keempat, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Johor memainkan peranan dalam aspek peningkatan kompetensi digital guru dan murid,” katanya.

Norlizah berkata, usaha kelima adalah pasukan guru pembimbing dikenal sebagai Guru Adiwira Digital Johor Educator Team (GADJET) telah ditubuhkan secara rasmi pada 16 Jun 2022 dengan kekuatan seramai 172 guru melibatkan 11 daerah.

“Keenam, Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengadakan kolaboratif bersama pihak berkepentingan bagi membantu meningkatkan jaringan ke arah pendigitalan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor