KERAJAAN JOHOR AKAN SUARAKAN MM2H DIHIDUPKAN SEMULA


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk ‘menghidupkan semula’ Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sebagai antara usaha mengatasi isu lambakan hartanah mewah tidak terjual di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, program tersebut dilihat mampu menyelesaikan masalah lambakan kediaman berharga lebih RM500,000 yang tidak terjual di Johor.

“Kita memang kalau boleh nak desak atau nak minta Kerajaan Persekutuan untuk hidupkan balik (Malaysia) ‘My Second Home’ ini, pasal (Malaysia) ‘My Second Home’ ini akan menyelesaikan banyak isu-isu rumah mewah yang atas RM500,000 ini.

“Ia tergendala dua tiga tahun yang lepas. Tapi memang saya harap sangat di peringkat Kerajaan Persekutuan buka dan ‘offer’ kembali (Malaysia) ‘MySecond Home’ kepada pembeli-pembeli dari luar Malaysia,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Ditanya sama ada terdapat cadangan secara rasmi kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan mengenai perkara itu, Mohd Jafni memberitahu akan menyuarakan cadangan tersebut kepada menteri baharu yang berkaitan.

Katanya, semakan di peringkat Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) mendapati kira-kira 80 peratus kediaman tidak terjual di Johor merupakan pangsapuri perkhidmatan.

“‘Service apartment’ ini kebanyakannya 80 peratus itu bernilai RM500,000 ke atas. Jadi desas desus yang mengatakan ‘overhang’ ini banyak melibatkan rumah mampu milik adalah tidak benar,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, di peringkat dasar, kerajaan negeri mengalu-alukan segala cadangan untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Ia melibatkan ‘service apartment’ yang lama juga. Ini ‘since’ daripada COVID dua tahun yang lepas. Jadi kita harap dengan kepesatan pelaburan masuk yang tertinggi di Johor ini, kita akan menggalakkan ramai pelabur-pelabur masuk.

“Pelabur ini ada pekerja-pekerja yang mahir bergaji besar, boleh menyewa ‘property overhang’,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor