KONSISTEN MENJADIKAN JOHOR SEBAGAI ‘FAIR STATE’
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri konsisten untuk menjadikan Johor sebagai ‘A Fair State and Not A Welfare State’
Berucap dalam penggulungannya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, menyedari kepentingan teras Kebajikan dan Wanita, kerajaan negeri telah bergerak sebagai satu pasukan.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan lagi bekerja dalam ‘silos’ masing-masing.
“Syukur alhamdulillah, seramai lebih 150,000 individu berjaya dibantu setiap tahun melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Kebajikan golongan ibu tunggal juga diambil berat oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, mekanisme serampang dua mata telah diambil menerusi Projek Komuniti Di Hati yang membuka peluang perniagaan dalam bidang masakan bagi meningkatkan pendapatan ibu tunggal.
“Program ini juga melibatkan kerja-kerja kesukarelawanan dan kebajikan komuniti setempat.
“Masakan yang disediakan oleh ibu tunggal akan diagihkan kepada kumpulan sasar seperti golongan asnaf, miskin, miskin tegar dan mereka yang memerlukan,” katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak RM850,000 telah disalurkan untuk penambahbaikan pusat komputer dan pusat fisioterapi Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy pada tahun ini.
“Kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM458,000 kepada Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea bagi menampung kos operasi dan membaik pulih bangunan.
“Adalah diharapkan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri dapat digunakan demi keselesaan dan menyuntik semangat ibu bapa, guru-guru dan anak-anak istimewa ini,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor