KOTA TINGGI DAERAH TERBARU TERJEJAS BANJIR
ISKANDAR PUTERI — Kota Tinggi menjadi daerah terbaru di Negeri Johor yang dilanda banjir dengan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, hari ini.
Dua PPS tersebut adalah Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar yang dibuka 9.30 pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan setakat jam 2 petang tadi, sebanyak 35 keluarga dan 129 penduduk ditempatkan di empat PPS di Segamat dan Kota Tinggi.
Segamat merekodkan 17 keluarga dan 61 penduduk terjejas, manakala Kota Tinggi pula 18 keluarga dan 68 penduduk.
PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas menempatkan tujuh keluarga terdiri 26 penduduk dari Kampung Baru Sungai Mas.
Manakala PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar pula menempatkan 11 keluarga dengan 42 penduduk dari Taman Desaru Utama, Bandar Penawar.
Sementara itu, PPS Balairaya Kampung Batu Badak yang dibuka sejak 11 Disember lalu, kini menempatkan 11 keluarga dan 34 penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak serta Kampung Batu 5.
PPS Kampung Kuala Paya pula yang dibuka sejak kelmarin pula menempatkan enam keluarga terdiri 27 penduduk dari Kampung Kuala Paya.
Pemantauan keadaan banjir di Negeri Johor melibatkan pelbagai agensi antara Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Meteorologi Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan lain-lain agensi.
Selain itu, paras air sungai di Sungai Muar, dekat Kampung Awat dan Sungai Muar, dekat Buloh Kasap di Segamat masih berada di tahap amaran manakala Sungai Endau, dekat Kampung Labong di Mersing pula di tahap waspada.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor