KEDAI MAKAN KOTOR DIKOMPAUN, DIARAHKAN TUTUP


Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap sebuah premis yang tular di media sosial kerana menyediakan makanan secara tidak bersih | Sumber Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap sebuah premis yang tular di media sosial kerana menyediakan makanan secara tidak bersih, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, susulan daripada siasatan dan pemeriksaan dilakukan, pelbagai kesalahan didapati dilakukan oleh premis yang kemudiannya telah diambil tindakan.

Menurutnya, antara kesalahan tersebut adalah pencemaran silang di tempat penyimpanan makanan serta tidak menjaga titik kawalan kritikal ke atas makanan yang telah dimasak.

“(selain itu) lantai yang kotor dan tidak dibersihkan, dinding yang berhabuk dan bersawang, pengendali makanan yang tidak mempunyai suntikan Anti Typhoid dan kursus pengendalian makanan.

“Penyimpanan makanan yang tidak bersih, terdapat talang telur yang berada ditempat penyediaan makanan dan telur-telur yang tidak dicuci sebelum digunakan.

“Tempat mencuci tangan tidak dilengkapi dengan sabun cecair dan pengering tangan atau tuala pakai buang, menggunakan tong sampah yang tidak dibersihkan, kotor dan tidak bertutup serta sistem saliran yang tidak efektif dan menyebabkan air limbah mengalir ke atas permukaan jalan,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya, hari ini.

Tian Soon berkata, tindakan dikenakan ke atas premis terbabit yang tular itu diharapkan menjadi pengajaran kepada semua pemilik dan penggendali makanan di Johor.

Terdahulu, tular video di media sosial mengenai premis makanan di daerah terbabit yang kotor selain menyediakan makanan dalam keadaan tidak bersih.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor