SKIM BANTU PKS DIMUKTAMADKAN FEBRUARI INI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama delegasi Bank Rakyat Berhad | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Satu skim bagi membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Perusahaan Mikro Bangsa Johor akan dimuktamadkan pada bulan Februari, bagi merancakkan lagi ekonomi negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersetuju memudahcara Skim Pembiayaan Pinjaman PKS dan Perusahaan Mikro Negeri Johor.

 

“Setelah berbincang dengan delegasi Bank Rakyat Berhad, kerajaan negeri bersetuju untuk memudahcara Skim Pembiayaan Pinjaman PKS dan Perusahaan Mikro Negeri Johor bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka (pengusaha).

 

“Jumlah pembiayaan pinjaman adalah antara RM50,000 hingga RM500,000 dan untuk terus membantu para pengusaha, kerajaan negeri akan menanggung 100 peratus kadar faedah pinjaman ke atas Perusahaan Mikro serta hampir separuh daripada kadar faedah ke atas PKS,” kata beliau di Facebooknya.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri memandang serius cabaran dihadapi PKS dan Perusahaan Mikro sekali gus berharap inisiatif itu akan menjadi satu lagi pemangkin bagi pengusaha terus berkembang maju pada masa akan datang.

 

“Bank Rakyat adalah bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan aset melebihi RM115 billion.

 

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP), kerjasama ini diyakini dapat membantu kerajaan negeri melonjakkan semula ekonomi di Johor, selari dengan usaha dalam meningkatkan lagi prestasi sektor industri yang lain,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor