PEMBELI PR1MA KOTA TINGGI DIJANGKA TERIMA KUNCI AWAL MAC INI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memberitahu pihak PR1MA akan mula melaksanakan serahan kunci Residensi PR1MA Kota Tinggi kepada pembeli pada awal Mac 2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Pembeli Projek Residensi PR1MA Kota Tinggi dijangka menerima kunci kediaman masing-masing, pada awal Mac ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek sakit melibatkan 625 unit kediaman itu telah tertangguh selama 29 bulan.

 

“Projek sakit (Residensi PR1MA Kota Tinggi) bukan bidang kuasa kerajaan negeri.

 

“Tetapi atas dasar tanggungjawab, kerajaan negeri komited membantu PR1MA dan pembeli untuk menyelesaikan semua masalah,” kata beliau di Facebooknya, semalam.

 

Mohd Jafni berkata, sejak bulan Mei tahun lalu, sebanyak 11 usaha melibatkan mesyuarat, perjumpaan dan lawatan tapak sudah dilaksanakan bagi menyelesaikan isu berkaitan projek itu.

 

Beliau memberitahu isu yang membelenggu pembeli projek terbabit kini hampir selesai berkat kerjasama daripada pelbagai pihak yang terlibat.

 

“Pihak PR1MA akan mula melaksanakan serahan kunci kepada pembeli pada awal Mac 2023.

 

“Doakan segala urusan dipermudahkan, beroleh kerjasama semua pihak dan agensi kerajaan negeri serta pusat,” katanya.

 

Terdahulu, Media Digital Johor pernah melaporkan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan koordinasi bersama pihak PR1MA bagi membeli dan melindungi nasib 625 pembeli.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor