PERIKANAN JOHOR RAMPAS LIMA PUKAT RAWA SORONG
ISKANDAR PUTERI — Pangkalan Utama Perlindungan Sumber Tampoi, Jabatan Perikanan Johor telah merampas lima set pukat rawa sorong yang ditemui dalam operasi yang dilaksanakan pada awal Februari lalu.
Dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasminya, berkata Jabatan Perikanan Johor juga mendapati kegiatan menangkap ikan menggunakan pukat rawa sorong dikesan masih berleluasa walaupun penggunaannya sudah diharamkan sebelum ini.
“Hasil operasi yang dijalankan mendapati terdapat nelayan yang masih melakukan aktiviti rawa sorong di sekitar perairan Pantai Rambah, Pontian.
“Aktiviti rawa sorong adalah aktiviti menangkap ikan menggunakan sampan serta dua pukat buluh di mana ia menggunakan kaedah menggorek sehingga kedalaman setengah meter untuk mendapatkan hasil seperti ikan dan udang,” katanya.
Tegas Jabatan Perikanan Johor, penggunaan pukat rawa sorong diharamkan penggunaannya kerana ia memerangkap atau membunuh anak ikan serta benih udang serta merosakkan dasar laut sehingga boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang.
“Jabatan Perikanan Johor juga komited dan akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi bagi mengekang semua aktiviti penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang.
“Semua pukat rawa sorong yang dirampas turut disita dan disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan Peraturan Dua, Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980,” katanya.
Sementara itu menerusi kenyataan sama, Jabatan Perikanan Johor menasihatkan kepada komuniti nelayan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada di laut dan peka dengan amaran cuaca semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Jika berlaku kecemasan di laut, mereka boleh berhubung terus ke Pangkalan Perlindungan Perikanan di Tampoi, Batu Pahat, Tanjung Sedili dan Mersing.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor