JOHOR KEKAL ANTARA PENYUMBANG EKSPORT, IMPORT NEGARA


Johor terus merekodkan kedudukan antara lima negeri pengeksport dan pengimport utama negara, pada Februari 2023 | Gambar hiasan.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor terus merekodkan kedudukan antara lima negeri pengeksport dan pengimport utama negara, pada Februari 2023.

 

Ketua Perangkawan, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.7 peratus diikuti Johor (21.5 peratus), Selangor (17.6 peratus), Sarawak (8.6 peratus) dan Kuala Lumpur (5.4 peratus).

 

Menurutnya, eksport pada bulan Februari 2023 meningkat sebanyak RM10 bilion (+9.8 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

 

“Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM5 bilion), Pulau Pinang (+RM3 bilion), Kuala Lumpur (+RM2.1 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM450.8 juta), Melaka (+RM424.7 juta), Kelantan (+RM333 juta), Terengganu (+RM159.1 juta) dan Selangor (+RM56.1 juta).

 

“Bagaimanapun, eksport menyusut di Labuan (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM559.6 juta), Kedah (-RM426.6 juta), Perak (-RM397.1 juta), Pahang (-RM79.6 juta) dan Perlis (-RM19 juta),” katanya dalam satu kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Februari 2023, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, Selangor dan Johor merupakan penyumbang utama bagi import negara dengan masing-masing merekodkan 26 peratus diikuti Pulau Pinang (21.5 peratus), Kuala Lumpur (6.2 peratus) dan Kedah (4.9 peratus).

 

Ujarnya, import pada bulan Februari 2023 juga meningkat RM10.3 bilion (+12.4 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

“Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM7.4 bilion), Selangor (+RM2.5 bilion), Melaka (+RM1.6 bilion), Pulau Pinang (+RM882.9 juta), Pahang (+RM178.2 juta), Negeri Sembilan (+RM91.7 juta), Perlis (+RM53.3 juta) dan Kelantan (+RM38.1 juta).

 

“Bagaimanapun, import menyusut bagi Sarawak (-RM936.3 juta), Kedah (-RM558.6 juta), Terengganu (-RM412.1 juta), Sabah (-RM233.7 juta), Perak (-RM161.8 juta), Kuala Lumpur (-RM69.7 juta) dan Labuan (-RM11.6 juta),” katanya.

 

Jumlah dagangan negara pada bulan Februari 2023 bernilai RM205 bilion (+11 peratus tahun ke tahun) dengan nilai eksport RM112.3 bilion (+9.8 peratus tahun ke tahun) dan nilai import bernilai RM92.7 bilion (+12.4 peratus tahun ke tahun).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor