RM6 JUTA DIPERUNTUKAN NAIK TARAF JALAN BESAR YONG PENG


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon berkata, projek menaik taraf itu sudah bermula pada April lalu, dan dijangka siap pada November ini. | Sumber foto: Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Jalan Besar, Ayer Hitam ke Kampung Sri Sepakat melalui Jalan Yong Peng FT001 pada tahun ini, bagi keselamatan dan keselesaan pengguna.

 

Berkongsi mengenai perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon berkata, projek menaik taraf itu sudah bermula pada April lalu, dan dijangka siap pada November ini.

 

“Kalian dapat lihat kerja-kerja penaiktarafan telah pun bermula di Jalan Besar Yong Peng menghala ke Ayer Hitam, dan ia akan diteruskan di area Jalan Besar Yong Peng menghala ke Lam Lee.

 

“Marilah kita bersama-sama doa dan berharap projek tersebut dapat selesai pada hujung tahun ini dengan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Tian Soon yang juga EXCO Kerajaan Johor memberitahu berusaha menyelesaikan isu jajaran jalan Persekutuan melibatkan jarak sepanjang 39.5 kilometer setelah diberikan mandat selaku wakil rakyat kawasan, namun memerlukan perbelanjaan yang besar.

 

Atas kerjasama dan usaha daripada pelbagai pihak antaranya kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, ujarnya, peruntukan menaik taraf jalan terbabit diberikan pada tahun lalu, namun melibatkan jarak 10 kilometer sahaja.

 

“Projek itu berlaku khususnya di area pekan Yong Peng serta area Taman Berjaya dan selebihnya hanya akan dibuat sebahagian jalan sahaja. Akhirnya, projek tersebut telah pun selesai pada 23 Disember 2022.

 

“Kini, jalan tersebut terus diperuntukkan sebanyak RM6 Juta untuk menaiktarafkannya, projek tersebut telah bermula pada bulan April lepas dan ia dianggar akan siap pada bulan November,” katanya.

 

Tian Soon berharap pemantauan perkembangan secara berterusan dapat dilakukan bagi memastikan projek itu disiapkan dengan selamat dan berkualiti.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor