JOHOR TERIMA PELABURAN BERNILAI RM4.5 BILION DARI SYARIKAT REPUBLIK KOREA
JOHOR BAHRU — Negeri Johor menerima pelaburan daripada Korea Selatan bernilai RM4.5 bilion melibatkan 80 projek di Wilayah Iskandar Malaysia dalam tempoh 10 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, kesemua projek itu berjaya mewujudkan 1,700 peluang pekerjaan kepada rakyat terutama dalam sektor kimia yang menjadi kekuatan syarikat dari negara berkenaan.
”Syarikat dari Korea Selatan lebih fokus dalam sektor kimia dan petrokimia di mana mereka ada kekuatan dan kepakaran dalam sektor tersebut. Korea Selatan lazimnya menduduki antara tempat ketiga atau keempat sebagai negara asing membuat pelaburan terbesar di Johor.
“Kita yakin dengan pelbagai usaha dilakukan khususnya melalui penganjuran forum perniagaan ini dapat menarik seramai mungkin pelabur dari pelbagai industri sebagai pelabur baharu di negeri Johor,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Forum Perniagaan Johor – Korea 2023, di sini, hari ini.
Ting Han berkata, kerajaan negeri turut berharap dapat menarik lebih banyak syarikat antarabangsa berimpak tinggi untuk melabur di negeri ini.
”Kita juga telah membantu syarikat (Korea Selatan) SPC (Group) yang telah membina hab halal bernilai RM130 juta di Johor menerusi Paris Baguette, LG Chem di kawasan Pengerang dan LOTTE Chemical di Pasir Gudang.
”Saya berharap dengan adanya syarikat berteknologi dan berimpak tinggi di sini, dapat membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti untuk Bangsa Johor,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor