KERAJAAN JOHOR TERUS KOMITED PASTIKAN KELANCARAN OPERASI PINTU SEMPADAN NEGARA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghadiri Forum Perniagaan Johor – Korea 2023 di sebuah hotel di Johor Bahru hari ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Komitmen kerajaan negeri memastikan kelancaran operasi di pintu sempadan negara di negeri ini, terutama ketika waktu puncak telah membuahkan hasil.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha yang digerakkan bagi memperbaiki operasi supaya lebih efisien telah mengurangkan tempoh ‘clearance’ masuk dan keluar daripada satu jam kepada 30 minit masuk dan keluar di laluan paling sibuk itu.

 

“Biarpun situasi ketika ini baik, kita perlu tingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk perbaiki keadaan dari masa ke masa.

 

“Ini akan menjadi keutamaan kerajaan negeri dan ada beberapa aspek lagi yang perlu diperbaiki termasuk keadaan jalan, capaian internet dan masalah banjir untuk menjaga imej bagi menarik lebih banyak pelabur,” katanya ketika berucap di Forum Perniagaan Johor – Korea 2023 di sini, hari ini.

 

Selain itu, Onn Hafiz di dalam ucaptamanya mengalu-alukan syarikat dari Korea Selatan untuk menerokai peluang pelaburan di negeri ini.

 

“Saya ingin mengajak syarikat-syarikat Korea Selatan untuk terus melabur sekali gus membawa manfaat buat kedua-dua negara. Ambillah kelebihan yang ada di negeri Johor dan terokai pelbagai bidang yang ada di sini,” katanya.

 

Bagi Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae memberitahu cadangan penganjuran Forum Perniagaan Johor-Korea dipersembahkan kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Disember tahun lalu.

 

”Sudah pasti kami ingin mengukuhkan hubungan dua hala antara Korea dan Johor bagi menerokai pelbagai potensi (melalui penganjuran forum).

 

”Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Korea di Asia Tenggara. Saya memuji usaha Menteri Besar yang telah memastikan negeri Johor membawa pelaburan tertinggi pada tahun 2022,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor