KESTABILAN POLITIK PEMANGKIN KEJAYAAN – MB JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kestabilan politik dikecapi Kerajaan Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan Mac lalu, membolehkan pelbagai kejayaan membanggakan dicapai dalam tempoh singkat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penting untuk memulangkan kembali mandat kepada rakyat seperti yang telah dilakukan oleh Negeri Johor.

“Bagi Johor yang telah melalui PRN enam bulan lalu, adalah penting juga untuk memulangkan mandat kepada rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan InsyaAllah, yang selari dengan kerajaan negeri.

“Kestabilan politik yang dikecapi kerajaan negeri pada hari ini telah membolehkan Johor mencapai beberapa kejayaan membanggakan dari aspek ekonomi, pelaburan, pelancongan dan sukan dalam hanya tempoh yang singkat,” tulisnya menerusi posting dimuatnaik dalam akaun Facebook rasminya.

Sejak tertubuhnya kerajaan negeri baharu pimpinan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar, pelbagai kejayaan membangga berjaya diraih dalam tempoh pentadbirannya.

Antara pencapaian tersebut adalah rekod pelaburan tertinggi dalam negara berjumlah RM60.9 bilion seperti dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Selain itu, Johor turut menjadi negeri paling tinggi menerima kehadiran pelancong pada tahun 2021, berdasarkan Survei Pelancongan Domestik, Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kontinjen Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 juga telah meraih pencapaian luar biasa dengan menjadi juara keseluruhan kejohanan dwi-tahunan di Kuala Lumpur.

Justeru, Onn Hafiz merayu kepada Bangsa Johor agar memilih Kerajaan Persekutuan yang sehaluan dengan Kerajaan Johor.

“Dengan kerajaan yang sehaluan insya Allah akan mendapat lagi banyak peruntukan dan bantuan daripada pusat yang disalurkan kepada rakyat Johor.

“Ini akan membantu dalam usaha pembangunan negeri dan sekali gus mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030,” tulisnya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatpantas
#MajuJohor