JKMNJ KENALPASTI LOKASI PENYEDIAAN BAKUL MAKANAN DI KEPULAUAN MERSING


Program Pemantauan Pangkalan Hadapan dan ‘One Stop Centre’ yang dilaksanakan baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook JKMNJ

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ) mengadakan Program Pemantauan Pangkalan Hadapan dan ‘One Stop Centre’ di lima pulau di sekitar perairan daerah Mersing.

 

Ia bagi mengenal pasti lokasi terbaik dan bersesuaian untuk meletakkan persediaan bekalan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Pulau Besar sebelum ketibaan Musim Timur Laut (MTL) yang sering melanda, setiap tahun.

 

Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, JKM dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mersing menerusi program yang dilaksanakan pada 11 Jun hingga semalam itu kemudiannya berjaya menemui lokasi terbaik untuk dijadikan lokasi penyimpanan bekalan berkenaan.

 

“Hasil lawatan tersebut pihak JKMNJ telah mendapati lokasi yang bersesuaian dan selamat adalah di satu bilik yang kosong yang berada di setiap sekolah pulau-pulau yang tersebut kecuali di Pulau Besar kekal di Balairaya.

 

“Selain itu, pada program sama, JKMNJ turut mengadakan beberapa aktiviti seperti Hari Bertemu Pelanggan, Penyampaian Sumbangan dan aktiviti bersama murid sekolah,” jelas kenyataan itu.

 

Pengarah JKMNJ, Mohamad Hapil turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada jabatan dan agensi yang turut serta melaksanakan dan memberi kerjasama sepanjang program berkenaan berjalan.

 

“Semoga usaha serta kolaborasi antara jabatan dan agensi kerajaan ini dapat diteruskan di masa akan datang serta seterusnya dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor