BERSAMA MENJADIKAN MERSING DESTINASI PELANCONGAN PILIHAN
ISKANDAR PUTERI — Kerjasama antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan mampu membangunkan potensi Mersing yang kaya dengan keindahan alam semula jadi sebagai daerah pelancongan tersohor di negara ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gabungan usaha tersebut diperlukan bagi menyelesaikan isu jalan raya, jeti, hospital, jambatan dan keperluan asas lain yang telah menghantui rakyat sejak sekian lama.
Menurutnya, segala usaha dilakukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan Mersing itu juga demi kesejahteraan rakyat agar limpahan ekonomi dapat dinikmati oleh warga setempat.
“Saya yakin dan percaya dengan kerjasama, sokongan dan bantuan dari Kerajaan Persekutuan, kita mampu menjadikan Johor terutamanya Mersing sebagai destinasi pilihan pelancong seluruh dunia,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Sabtu.
Terdahulu, Menteri Besar Johor melakukan lawatan kerja selama dua hari di Mersing, dan berpeluang melawat Kepulauan Mersing selain meninjau prasarana pelancongan.
“Dari persisiran pantai yang seputih dan selembut tepung ke air laut yang hijau kebiruan dan dasarnya yang cukup jernih pasti akan memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
“Bagi penggemar aktiviti island hopping dan snorkeling, disinilah peluang untuk meneroka keindahan pulau dan dasar laut di sekitar perairan Mersing di mana pelbagai jenis batu karang berwarna-warni menghiasi dasar lautnya,” kata beliau.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor