PTG JOHOR GALAK BUDAYA TRANSAKSI TANPA TUNAI


Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor, Dato’ Haji Ashari Haji Kasnan (paling kiri) berkata, pihaknya ingin memupuk kaedah berkenaan dalam transaksi urusan mereka yang disifatkan lebih telus dan selamat. | Foto Nurina Aisyah, MDJ

 

TANGKAK — Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor menggalakkan pembayaran cukai tanah tanpa tunai secara atas talian di seluruh negeri ini.

 

Pengarahnya, Dato’ Ashari Kasnan berkata, PTG ingin memupuk kaedah berkenaan dalam transaksi urusan mereka yang disifatkan lebih telus dan selamat.

 

“Kita di PTG amat menggalakkan kaedah pembayaran sedemikian kerana ia menjimatkan masa pembayar dan lebih memudahkan mereka.

 

“Misalnya, ada yang datang dari jauh (kampung) semata-mata hendak ke pejabat tanah daerah masing-masing, modalnya pasti besar untuk sekadar bayar cukai berjumlah lebih kurang RM30 sahaja,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada Media Digital Johor ketika Karnival Gunung Ledang & Tanah Tangkak 2023, di sini, pada Ahad.

 

Ashari berkata, lebih RM500,000 berjaya dikutip oleh PTG menerusi kaunter pembayaran yang dibuka sepanjang dua hari karnival berlangsung.

 

“PTG juga menggunakan pendekatan mesra melalui karnival sebegini, di mana kita turun mendekati rakyat.

 

“Kita memberikan pendedahan kepada mereka mengenai platform yang ada untuk membayar cukai tanah, membuat semakan dan sebagainya,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor