JPNJ TERUS KOMITED PERKASA BIDANG TVET


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh diberikan taklimat pembentangan mengenai TVET di peringkat JPNJ. | Foto Ihsan FB Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor memberikan sokongan terhadap usaha pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, pelbagai input baharu diterimanya mengenai gerak kerja JPNJ bagi menjayakan hasrat tersebut.

 

“Antara fokus dan gerak kerja TVET sesi 2023/2024 adalah untuk memperkasakan Mata Pelajaran Vokasional (MPV), memperkukuhkan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), meningkatkan Prestasi Mata Pelajaran Elektif Ikhtisas (MPEI) dan juga untuk membangunkan kapasiti pelajar dari segi Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan,” katanya.

 

Terdahulu, beliau diberikan taklimat pembentangan mengenai TVET di peringkat JPNJ oleh Ketua Penolong Pengarah Unit TVET Sektor Pembelajaran Negeri Johor, Hairul Nurasyikin Haron.

 

Norlizah turut dimaklumkan bahawa Johor mempunyai 40 buah pusat latihan yang mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

 

Ujarnya, kesemua itu merupakan hasil inisiatif pemberian bantuan peralatan kelengkapan latihan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan (SMI) Negeri Johor.

 

“TVET JPNJ juga mempunyai program-program TVET tersendiri hasil kolaberasi kerjasama rakan-rakan strategik. Antaranya, Program ‘Sustainable School’, Projek Tusyen MPEI dan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan kerjasama Yayasan Johor Corporation (JCorp), QSR (Brands (M) Holdings Bhd.) dan KFC Malaysia.

 

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Unit TVET JPNJ atas segala usaha bagi memperkasakan TVET di Negeri Johor. Kerajaan negeri Johor akan terus menyokong usaha murni ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor