KUIH GANDOS SAJIAN TRADISI MASYARAKAT JAWA


 

Pengusaha kuih gandos, Md Jamil Madran menyediakan kuih gandos yang kekal menjadi sajian istimewa masyarakat Jawa turun temurun. | Foto MDJ Wira Anggara

 

MUAR — Rasa enak jika dimakan bersama sambal tumis atau sambal hijau, kuih gandos terus menjadi sajian istimewa masyarakat Jawa turun temurun.

 

Kuih tradisi diperbuat daripada tepung gandum atau tepung beras berserta garam, kelapa parut, air itu menjadi perhatian dalam Kembara Mahkota Johor 2023.

 

Pembuatan kuih gandos diberikan tempat untuk dipersembahkan sempena kunjungan rombongan tetamu diRaja dan tetamu kenamaan di Kompleks Penghulu Ayer Hitam, di sini.

 

Bagi Md Jamil Madran, 70, resipi kuih berkenaan yang diterima daripada nenek moyangnya masih disajikan pada bila-bila masa termasuklah ketika acara keraian.

 

Menurutnya, sehingga kini, pembuatan kuih gandos telah diwariskan kepada anak-anaknya agar tidak luput ditelan zaman.

 

“Kuih ini dibuat dalam acuan khas di mana salah satu acuan yang saya miliki telah diturunkan secara turun temurun empat generasi.

 

“Kalau hendak rasa lagi sedap, adunannya dibancuh sekali dengan air kelapa. Apabila siap, ia dinikmati dengan sambal atau air gula,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Md Jamil berkata, suatu ketika dahulu, kuih gandos disediakan dengan mesej semangat perpaduan kerana disediakan dalam aktiviti rewang atau gotong royong.

 

“Orang Jawa apabila buat kenduri, kerja kebun, mesti ada kuih gandos yang disajikan dengan kopi ‘o’. Hari ini, kuih ini masih popular di kalangan masyarakat Jawa khusus di Johor.

 

“Kalau dulu, masak kuih ini guna kayu api, tapi kena jaga api. Sekarang, guna dapur senang kerana kuih dibakar secara sekata,” katanya.

 

Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berangkat ke Kompleks Penghulu Ayer Hitam, untuk bertemu masyarakat daerah Muar sempena Kembara Mahkota Johor 2023.

 

Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

 

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani serta EXCO Kerajaan Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor