INISIATIF PARKIR BERTINGKAT HSA ATASI KESESAKAN


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 Juta bagi menaiktaraf kemudahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA). | Foto MDJ: Hafez Zahar.

 

JOHOR BAHRU — Inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk membina kemudahan parkir bertingkat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mendapat sambutan positif oleh rakyat Johor.

 

Tinjauan Media Digital Johor di HSA hari ini, mendapati rata-rata orang awam menyifatkan usaha kerajaan ini sangat penting dalam menangani masalah kesesakan parkir yang berlaku sejak sekian lama.

 

Nur Ziana Farahim Rukee Mohd Yusoff, 25, yang perlu sentiasa berulang alik ke HSA untuk menjaga ibunya turut menzahirkan rasa gembira dan teruja dengan inisiatif terkini daripada kerajaan berkenaan.

 

“Inisiatif kerajaan untuk membina parkir bertingkat ini sangat bagus kerana kita nampak keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan isu yang sering kami (pelawat) hadapi .

 

“Usaha kerajaan ini sememangnya akan membantu kami untuk mendapatkan parkir secara mudah selain mengurangkan kesesakan jalan raya dan kesesakan dalam kawasan parkir hospital ini,” katanya.

 

Bagi Samsudin zainal, 53, berkata inisiatif ini sangat penting pada dirinya yang perlu sentiasa hadir ke hospital bagi membuat pemeriksaan secara bulanan merasakan kemudahan ini amat diperlukan oleh golongan pesakit seperti dirinya.

 

“Sebagai pesakit yang perlu datang jauh dari Mersing untuk hadir pemeriksaan secara berjadual dan sering menghadapi masalah parkir, saya merasakan bahawa inisiatif ini perlu disambut baik kerana sekurang-kurangnya saya tidak perlu risaukan tentang parkir setiap kali mahu ke sini,” katanya.

 

Menurut Yusuf Pardid, 56, yang pertama kali menghantar pesakit ke HSA pula berkata, parkir bertingkat ini dilihat bukan sahaja akan memudahkan pesakit malah pelawat dan orang luar yang menghantar dan mengambil pesakit di HSA.

 

“Saya pertama kali datang untuk menghantar jiran (pesakit) ke sini dan terpaksa berpusing hampir tujuh hingga lapan kali hanya untuk mencari parkir kereta sahaja. Jadi saya merasakan pengumuman untuk menaik taraf kemudahan (parkir) hospital ini sangat baik sekali gus membantu melancarkan pergerakan lalu lintas di sini,” ujarnya.

 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 Juta bagi menaiktaraf kemudahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor