ADUN KOTA ISKANDAR PERJUANG NASIB NELAYAN


ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad (tengah); Ketua Kampung Tanjung Kupang, Abdul Jalil Abdul Majid (kiri) dan seorang nelayan, Faizan Wahid (kanan), menunjukkan bukti kerosakan jaring yang terjejas akibat dilanggar oleh bot penguatkuasa maritim negara jiran. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

ISKANDAR PUTERI –– Nasib nelayan di sekitar Gelang Patah yang terjejas dipercayai akibat tindakan pasukan penguatkuasa maritim negara jiran, mendapat perhatian wakil rakyat kawasan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, beliau akan terus memperjuangkan nasib komuniti nelayan setempat yang keluar ke laut demi mata pencarian.

 

“Saya merasa kesal dengan tindakan dilakukan oleh pihak maritim negara jiran. Saya telah menghubungi Konsulat Jeneral Singapura di Johor, Jeevan Singh dan memaklumkan kepada beliau berkenaan isu ini.

 

“Saya juga mohon Kerajaan Persekutuan melalui Wisma Putra untuk melihat isu ini kerana ia bukan sahaja kerana nilai jaring yang rosak, tetapi dari segi kedaulatan perairan kita,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Rabu.

 

Pandak berkata, insiden di Selat Tebrau itu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku terhadap nelayan setempat.

 

“Saya menyeru pihak penguatkuasa negara kita khasnya agensi yang bertanggungjawab untuk mengawal perairan di Selat Tebrau ini. Saya juga mencadangkan supaya Pulau Merambong yang sangat strategik untuk dijadikan sebagai pangkalan maritim bagi mengurangkan gangguan atau pencerobohan yang berlaku selama ini.

 

“Nelayan-nelayan yang berada di persekitaran Selat Tebrau juga mengharapkan agar ada tindakan segera diambil untuk menjaga keselamatan mereka di sini,” tambahnya.

 

Beliau yang memandang serius insiden tersebut turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat semalam, selepas jaring milik nelayan rosak dipercayai dilanggar bot penguatkuasa maritim negara jiran.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor