AMBIL KIRA FAKTOR CUACA SEBELUM ANJUR RENTAS DESA


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor ketika mengulas kejadian seorang pelajar meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai rentas desa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Susulan seorang pelajar meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai rentas desa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri mahu Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa berhati-hati dan mengambil kira faktor cuaca sebelum mengadakan aktiviti berkenaan.

 

YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor ketika mengulas kejadian berkenaan juga menasihati pihak sekolah yang menganjurkan rentas desa supaya memastikan pelajar mengisi perut, berada dalam keadaan sihat dan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

 

Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Tanjung Surat itu turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga untuk memaklumkan sekolah menerusi borang aktiviti sekolah sekiranya anak masing-masing tidak sihat untuk melakukan sebarang aktiviti di sekolah.

 

Terdahulu, EXCO Kerajaan Johor itu ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ‘Alamak Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat @ Bukit Pelali bermula jam 2 hingga 6 petang yang telah dihadiri lebih 5,000 tetamu terdiri pelbagai lapisan masyarakat.

 

Pelbagai sajian dengan menampilkan nama-nama yang menarik dari setiap kampung di kawasan DUN Tanjung Surat disediakan kepada tetamu yang turut menikmati persembahan istimewa daripada artis jemputan iaitu De Fam, Tam Spider dan Naqiu Boboy.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor