ANUGERAH PERSURATAN SELATAN 2023 KEMBALI LAGI
ISKANDAR PUTERI — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempelawa semua karyawan Johor dan Melaka yang berbakat besar untuk menyertai Anugerah Persuratan Selatan 2023.
Anugerah Persuratan Selatan 2023 adalah usaha DBP menzahirkan pengiktirafan dan tanda sokongan kepada usaha pembangunan bakat kepengarangan dan penerbitan.
“Menerusi pengiktirafan ini secara tidak langsung membuktikan DBP turut menghargai bakat dan keterampilan para penulis yang sentiasa berusaha menghasilkan karya yang bermutu tinggi bagi mewarnai dunia persuratan kebangsaan.
“Justeru, karyawan Johor dan Melaka yang mempunyai karya bagi kategori yang ditetapkan yang diterbitkan pada 2021 dan 2022 dialu-alukan untuk menghantar penyertaan,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasmi DBP.
Anugerah Persuratan Selatan 2023 anjuran DBP Wilayah Selatan kali ini menampilkan dua kategori utama iaitu Kategori Citra Sastera dan Kategori Citra Bahasa yang menjanjikan hadiah lumayan untuk direbut.
Kategori Citra Sastera menampilkan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 untuk bagi karya kategori novel manakala hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 masing-masing bagi kategori kumpulan cerpen, kumpulan puisi, skrip drama pentas dan buku kanak-kanak bergambar atau berilustrasi.
Bagi Kategori Citra Bahasa pula, pemenang bagi kategori laporan tahunan jabatan dan majalah sekolah berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 manakala imbuhan RM1,000 bagi kategori buletin jabatan.
Semua karyawan yang berminat untuk menyertai Anugerah Persuratan Selatan 2023 boleh menghantar pemohonan mereka sebelum 23 Mac 2023.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor