ATLET JOHOR RAIH PINGAT SUKAN SEA DAN ASIA TERIMA INSENTIF


Atlet karate, H. Sureeya Sankar antara salah seorang penerima insentif kemenangan tertinggi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Seramai 100 atlet Negeri Johor mewakili negara pada temasya Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou 2023 menerima insentif daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM291,000.

 

Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak memaklumkan insentif berkenaan sebagai pengiktirafan dan penghargaan susulan prestasi memberangsangkan atlet negeri ini dalam mengharumkan nama negara.

 

Daripada jumlah tersebut, 44 atlet menerima insentif kemenangan Sukan SEA berjumlah RM118,000 dan tiga lagi atlet menyumbang pingat pada Sukan Asia menerima insentif bernilai RM12,000 secara keseluruhan.

 

Atlet karate, H. Sureeya Sankar muncul antara penerima insentif kemenangan tertinggi apabila menerima RM6,000 susulan kejayaan meraih emas dalam acara kumite individu pada Sukan SEA, diikuti pelari pecut dan pemegang rekod kebangsaan 400m, Umar Osman yang turut menyumbang emas pada penampilan sulungnya di pentas tertinggi Asia Tenggara.

 

Selain itu, pasangan adik beradik Shah Firdaus dan Ridwan Sahrom yang menghadiahkan pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut berbasikal pada Sukan Asia juga menerima insentif bernilai RM9,000, manakala Mohd Aizat Nordin menerima RM3,000 hasil kejayaan pingat perak dalam sukan sepak takraw.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor