BANGSA JOHOR BERSATU PERTAHAN KALIMAH ALLAH


Kenyataan Media

 

Kerajaan Johor menjunjung dan mendukung penuh titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas keprihatinan terhadap isu kalimah Allah serta bertanggungjawab akan terus mempertahankan kemuliaan Islam di negeri ini.

 

Menzahirkan komitmen berkenaan, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor memaklumkan amat mendukacitakan apabila terdapat pihak tidak menghormati dan berani menyentuh sensitiviti agama khususnya Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini.

 

Beliau memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana pihak mahupun individu terutama di Negeri Johor supaya tidak mempersenda dan mempermainkan kalimah Allah atau apa jua yang boleh mencemarkan kemuliaan agama Islam.

 

Justeru, EXCO Kerajaan Johor itu akan memastikan tindakan perundangan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 dan Perlembagaan Persekutuan berserta enakmen dan undang-undang sedia ada ketika ini, dapat dikuatkuasakan bagi membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.

 

Selain mahu tindakan tegas dan hukuman seadilnya dikenakan kerana mencemarkan kemuliaan nama Allah lebih-lebih lagi berlaku ketika bulan Ramadan, Bangsa Johor beragama Islam turut diseru agar terus bersatu padu dan bangkit mempertahankan kalimah Allah serta kesucian Islam secara total.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor bertitah menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah Allah selepas tular penjualan stoking tertera kalimah Allah di premis kedai serbaneka terkemuka yang mengundang kemarahan umat Islam, baru-baru ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor