BANJIR : SPM, STPM DI JOHOR DIJADUALKAN SEPERTI BIASA
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Tahun 2023 di negeri ini, akan berjalan seperti dijadualkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh dalam satu kenyataan memaklumkan tiada cadangan dan keperluan untuk peperiksaan awam itu ditangguhkan setakat ini.
Beliau memberitahu sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan institusi pendidikan telah dibuka di mana semuanya adalah sekolah rendah, tanpa sekolah menengah yang akan digunakan sebagai pusat peperiksaan awam.
Seramai 48,276 calon menduduki SPM 2023 dijangka berlangsung pada 8 Januari hingga 7 Mac ini, membabitkan 364 pusat peperiksaan, 4,205 petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan.
Manakala bagi STPM pula, seramai 8,831 calon akan menduduki peperiksaaan STPM pada 22 Januari hingga 6 Februari ini, melibatkan 75 pusat peperiksaan dan penglibatan 572 petugas.
Selain itu, EXCO Kerajaan Johor itu memberitahu Kerajaan Negeri dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bekerjasama menetapkan ‘Ops Payung’ jika berlaku bencana sewaktu musim peperiksaan.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor