MANGSA BANJIR HARGAI SUMBANGAN YRZSNJ


Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah memberi sumbangan kepada mangsa terjejas banjir melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) di Pusat Pemindahan Daerah (PPS) Daerah Kota Tinggi. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Mangsa banjir di daerah Kota Tinggi yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJKC New Kota menghargai sumbangan yang dikurniakan oleh Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

 

Penduduk Taman Mawai yang kini berlindung di PPS berkenaan, Siti Farhana Sofi menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Baginda Tuanku Permaisuri kerana memberi sumbangan kepada mangsa terjejas banjir di daerah terbabit.

 

Siti Farhana memberitahu, beliau bersama keluarganya ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediamannya dimasuki air selepas hujan lebat berterusan melanda kawasan itu hingga memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan berpindah demi keselamatan penduduk berikutan paras banjir semakin meningkat.

 

Bagi G. Priya Sakthi yang kini berlindung di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi pula memberitahu pihaknya berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan dan segala kemudahan yang disediakan juga dapat memberi keselesaan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan.

 

Beliau turut memaklumkan bantuan makanan di PPS itu juga amat mencukupi dan ia turut ditambah dengan sumbangan yang dikurniakan daripada Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah yang sedikit sebanyak dapat membantu mangsa terjejas banjir kali ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor