BELANJAWAN JOHOR 2027 SELARI DENGAN AGENDA PERTUMBUHAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), menjelaskan pendekatan Belanjawan Johor 2027 yang berteraskan kesinambungan dasar penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara konsisten serta memberi kesan dalam jangka panjang. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Belanjawan Johor 2027 yang dibentangkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, semalam dilihat selari dengan keperluan negeri untuk terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, di samping memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.
Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), menjelaskan pendekatan Belanjawan Johor 2027 yang berteraskan kesinambungan dasar penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara konsisten serta memberi kesan dalam jangka panjang.
Menurutnya, penggunaan kerangka Maju Johor yang diteruskan dalam Belanjawan Johor 2027 merupakan pendekatan yang baik kerana pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya dilihat secara berasingan, sebaliknya perlu disepadukan dengan aspek kesejahteraan rakyat.
Beliau turut melihat kekuatan Johor pada masa ini bukan sahaja berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan prestasi pelaburan, malah turut merangkumi aspek kesejahteraan, keharmonian sosial, kesihatan, alam sekitar dan kualiti hidup rakyat.
Dalam konteks ekonomi, pelaksanaan pelbagai agenda strategik termasuk Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pembangunan wilayah secara lebih tersusun dilihat mampu memperkukuh asas pertumbuhan Johor pada tempoh akan datang.
Pada masa sama, Orang Muda Johor turut terus diberi perhatian memandangkan kelompok berusia antara 15 hingga 30 tahun membentuk kira-kira 29 peratus daripada populasi negeri dan menjadi antara kumpulan penting dalam menentukan corak masa depan ekonomi Johor.
Keupayaan Belanjawan Johor 2027 yang menggabungkan agenda pertumbuhan ekonomi, pembangunan wilayah, kecekapan kerajaan dan kesejahteraan rakyat dilihat penting bagi memastikan kemajuan negeri dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih menyeluruh kepada Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


