JOHOR KEKAL KOMITED PERKASA KAWAL SELIA AIR PUSAT DATA

Sehingga kini, sebanyak 19 pusat data sedang beroperasi di Johor dengan jumlah bekalan air yang diluluskan sebanyak 21.277 juta liter sehari (JLH), berbanding permohonan asal sebanyak 73.088 JLH bersamaan 1.05 peratus daripada keseluruhan pengeluaran air terawat di Johor. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memperkukuh kawal selia penggunaan air oleh industri pusat data menerusi penilaian ketat permohonan bekalan utiliti, penggunaan teknologi penjimatan air serta pembangunan sumber air alternatif bagi memastikan keperluan domestik terus menjadi keutamaan.
Langkah itu dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) yang ditubuhkan pada 29 April 2024, sekali gus menjadikan Johor sebagai negeri pertama yang mengambil inisiatif berkenaan dengan penglibatan 20 agensi teknikal dan bukan teknikal di peringkat negeri serta Persekutuan.
Sehingga kini, sebanyak 19 pusat data sedang beroperasi di Johor dengan jumlah bekalan air yang diluluskan sebanyak 21.277 juta liter sehari (JLH), berbanding permohonan asal sebanyak 73.088 JLH bersamaan 1.05 peratus daripada keseluruhan pengeluaran air terawat di Johor.
Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air terawat awam, Kerajaan Negeri turut menggalakkan penggunaan teknologi penyejukan cekap air seperti ‘Air-Cooled Chiller’, ‘Direct-to-Chip Liquid Cooling’ dan ‘Immersion Cooling’ termasuk sistem mampu beroperasi tanpa penggunaan air.
Selain itu, operator pusat data yang memerlukan penggunaan air yang lebih tinggi digalakkan supaya mendapatkan sumber alternatif menerusi Johor Special Water (JSW), termasuk penggunaan semula air kumbahan terawat daripada loji rawatan kumbahan untuk keperluan industri.
Dalam memastikan bekalan air jangka panjang terus mencukupi, Kerajaan Negeri merancang empat projek strategik sumber air mentah berkapasiti keseluruhan 1,166 JLH sehingga 2031, selain enam projek loji rawatan air (LRA) yang dikenal pasti mampu menambah kapasiti bekalan air terawat sebanyak 1,048 JLH apabila ia siap sepenuhnya kelak.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor menjawab mengenai usaha kawal selia penggunaan air pusat data pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



