BERSEDIA DENGAN INSENTIF MENARIK BAGI MENJAYAKAN SEZ


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan objektif penubuhan SEZ Johor-Singapura mampu meningkatkan nilai perdagangan, peluang pekerjaan, pelaburan serta pentadbiran berkesan. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor harus bersedia dengan insentif yang mampu dan boleh menarik ramai pihak ke Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura bagi memastikan agenda zon berkenaan berjaya.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara insentif berkenaan adalah kemasukan visa pelbagai, pas khas atau laluan khas, insentif percukaian khas, pengecualian lesen perniagaan, infrastruktur yang baik dan ketersediaan pekerja berkemahiran.

 

“Ditambah lagi kedudukan Johor yang strategik, pelabuhan-pelabuhan bertaraf antarabangsa, ketersediaan tanah untuk dibangun dan dimajukan menjadikan Johor dalam kedudukan terbaik untuk menjayakan SEZ ini.

 

“Namun begitu, bagi mewujudkan insentif-insentif ini, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga amat penting. SEZ ini bukan hanya melibatkan Kerajaan Negeri, namun akan melibatkan pelbagai Kementerian,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata memberitahu objektif penubuhan SEZ Johor-Singapura adalah bagi memudahkan pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan antara dua negara yang akan meningkatkan nilai perdagangan, peluang pekerjaan, pelaburan serta pentadbiran berkesan.

 

“Cadangan penubuhan SEZ yang melibatkan sempadan dua negara berbeza, SEZ Johor-Singapura ini bakal menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

 

“Antara cadangan sektor industri berteknologi tinggi adalah elektrik dan elektronik, farmaseutikal, kenderaan elektrik (EV) atau automatif (bahagian dan komponen), pertanian hortikultur serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor