BIADAB DAN KURANG AJAR! : MENTERI BESAR JOHOR


Tangkap layar kenyataan Onn Hafiz di laman Facebooknya yang menyelar tindakan Jocylen Chia mempertahankan lawaknya. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengecam tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia mempertahankan bahan jenaka yang menghina negara dan mempersendakan tragedi pesawat MH370.

 

Beliau menyifatkan kenyataan wanita terbabit mempertahankan perbuatannya dengan mengatakan ‘orang ambil lawak itu terlalu serius’, sebagai biadab dan kurang ajar.

 

“Masih lagi nak menegakkan benang yang basah. Biadab dan kurang ajar!,” tegas beliau menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Chia telah memperlekehkan Malaysia dan menjadikan peristiwa tragik pesawat MH370 sebagai jenaka ketika persembahan komedi berdirinya yang sekali gus menyinggung rakyat negara ini.

 

Semakan Media Digital Johor mendapati akaun Instagram dan Twitter wanita terbabit dipercayai sudah dinyah aktif berkemungkinan disebabkan laporan dibuat oleh orang ramai.

 

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon yang terkejut dengan komen menjelikkan oleh Chia dalam komedi berdiri itu, memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

 

Selain memaklumkan Chia bukan lagi warga Singapura, beliau memberitahu kenyataan mengguris hati rakyat Malaysia yang telah dibuat, tidak sama sekali mencerminkan pandangan negara berkenaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor