DARI PERAHU LAYAR KE JAMBATAN MODEN


Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 Kilometer bernilai RM800 juta yang megah merentasi Sungai Pulai yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi / Gambar Media Digital Johor.

 

Ketua Kampung Kawasan 3 Mukim Sungai Karang, Pontian, Ahmad Azhri Jaafar / Gambar Media Digital Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — “Jika dahulu kami sememangnya tidak mempunyai sebarang pilihan selain daripada menggunakan jalan air sekiranya hendak ke kawasan Gelang Patah atau ke Johor Bahru,” kata Ahmad Azhri Jaafar.

Ahmad Azhri yang juga Ketua Kampung Kawasan 3 Mukim Sungai Karang, Pontian berkata, ini kerana kemudahan prasarana awam khususnya jaringan jalan raya masih lagi terhad tidak seperti hari ini.

Katanya, sekitar 1950 hingga penghujung 1970-an, penduduk di sini terpaksa menggunakan perahu layar untuk menyeberang Sungai Pulai untuk ke Gelang Patah atau Johor Bahru dan suka atau tidak, itulah pengangkutan utama kami di sini.

“Ada juga penduduk yang terpaksa mendayung sampan kecil semata-mata untuk menyeberang Sungai Pulai jika mempunyai sebarang urusan terutama di Johor Bahru atau ke perkampungan nelayan seperti di Tanjung Pelepas dan Tanjung Kupang.

“Jalan darat pula tidaklah terlalu baik kerana terpaksa melalui laluan jauh iaitu melalui Bandar Pontian dan Pekan Nanas yang jauh. Tambahan lagi, penduduk terpaksa melalui jalan tar, jalan tanah merah dan juga tanah gambut yang memenatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor (MDJ) pada Majlis Perasmian Jambatan Pulai yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Jambatan sepanjang 7.5 Kilometer berharga RM800 juta itu menghubungkan antara Daerah Pontian dan Johor Bahru serta mampu memendekan perjalanan kedua-dua daerah itu dari 90 minit kepada 30 minit sahaja.

Beliau berkata, sekitar 1980-an keadaan mulai maju apabila pengangkutan tradisional ini beralih kepada pengangkutan yang lebih moden tetapi masih menggunakan medium pengangkutan air sebagai sistem perhubungan penting di kawasan kampung kami.

“Pada era 1980-an, penduduk di sini mula menggunakan sampan berenjin tetapi masih lagi terhad kerana kapasiti motornya yang kecil.

“Pada 1990-an barulah penggunaan bot fiber yang lebih ringan beserta enjin yang lebih besar digunakan lebih meluas membolehkan kami menyeberang ke seberang sungai dengan lebih cepat dan selamat,” katanya.

Ahmad Azhri berkata, beliau juga masih ingat suatu ketika dahulu Menteri Penerangan merangkap Ahli Parlimen Pulai, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat juga sempat menggunakan perkhidmatan sampan dan bot untuk menyeberang Sungai Pulai ini.

“Pada waktu itu, Allahyarham hendak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Boh untuk menghadiri majlis rasmi di sekolah itu pun terpaksa menggunakan bot kerana itulah pengangkutan utama dan laluan paling pantas untuk ke kampung kami ini,” katanya.

Ditanya mengenai kemudahan jambatan berkenaan, Ahmad Azhri berkata, beliau mewakili penduduk kampung sememangnya amat menantikan kemudahan awam berkenaan sejak sekian lama.

“Alhamdulillah, kami semua sangat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang berjaya membina jambatan ini bagi kemudahan orang ramai.

“Saya berharap ia mampu menjadi platform bagi merancakkan pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan demi manfaat anak cucu kami pada masa akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor