DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT


Kerajaan Negeri mula merangka Belanjawan Johor 2025. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

Dalam usaha menyediakan sebuah perancangan kewangan bersifat inklusif dan pragmatik yang merasai denyut nadi rakyat seterusnya ke arah merealisasi Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030, gerak kerja Belanjawan Johor 2025 bermula dengan mengumpulkan suara hati rakyat di seluruh pelusuk negeri ini.

 

Inisiatif dilaksanakan amat selari dengan aspirasi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah menegaskan gerak kerja turun padang dilakukan bagi menyantuni Bangsa Johor di semua peringkat mahupun golongan agar kemajuan negeri yang hendak dicapai adalah seiring dengan keperluan rakyat.

 

Untuk rekod, prestasi ekonomi Johor mengalami pertumbuhan memberangsangkan iaitu 4.1 peratus pada tahun lalu dengan peningkatan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di samping negeri ini kekal menjadi antara penyumbang terbesar kepada jumlah perdagangan negara.

 

Momentum positif sama terus dicatatkan pada tahun ini dengan sokongan oleh pelbagai potensi pelaburan, lonjakan pertumbuhan sektor utama domestik, pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi dan peningkatan aktiviti pelancongan yang mengukuhkan lagi persekitaran ekonomi.

 

Bertunjangkan kepada enam teras Agenda Maju Johor, belanjawan yang bakal dirangka akan turut memberi tumpuan kepada pembangunan aktiviti ekonomi bernilai tinggi serta memperkasa usaha ke arah peralihan tenaga lestari yang menyokong perniagaan berdaya tahan dan ekonomi hijau.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan amanatnya sempena Kick-Off Belanjawan Johor 2025. Turut hadir, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dato’ Ashari Kasnan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor