ECERDC TARIK PELABURAN RM2.6 BILION KE SEGAMAT DAN MERSING

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Johor pertama tahun 2025 di Putrajaya, pada Khamis. | Foto ECERDC
#IskandarPuteri – Daerah Segamat dan Mersing terus mencuri tumpuan pelabur apabila berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM2.6 bilion dalam suku pertama tahun ini menerusi pembangunan strategik sektor pembuatan, tenaga boleh diperbaharui, pertanian dan pelancongan.
Pembangunan yang dipacu oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ini tertumpu dalam menjadikan Segamat dan Mersing sebagai hab pengeluaran makanan negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berfokus melibatkan sektor pertanian, perikanan dan tenusu yang sememangnya selari dengan agenda keterjaminan makanan negara.
Daerah Segamat juga turut menjadi lokasi kepada projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar menerusi pembinaan loji jana kuasa solar hibrid berkapasiti 860 megawatt (MW) di kawasan seluas 1,700 ekar serta kemudahan biomass berasaskan sisa pertanian, sekali gus menyokong pelan peralihan tenaga negara dan memacu ekonomi kitaran.
Bagi daerah Mersing pula terus diperkasa dengan pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) yang kini mencapai 93 peratus kemajuan dan dijangka siap menjelang Jun ini bagi meningkatkan pengeluaran susu tempatan, mengurangkan kebergantungan import dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Sementara itu untuk merancakkan sektor pelancongan pula, pelbagai projek infrastruktur turut dilaksanakan termasuk Peta Rainforest Discovery Centre, penaiktarafan jalan ke Taman Negara Johor Endau-Rompin, pembinaan jeti Pulau Pemanggil serta Pusat Maklumat di Taman Laut Sultan Iskandar, Pulau Besar.
Segamat juga bakal menerima suntikan pelaburan dalam sektor pembuatan produk plastik, pemprosesan kelapa bersepadu dan penternakan ayam baka berteknologi Smart Farm yang dijangka menyumbang kepada peluang pekerjaan serta memperkukuh rantaian bekalan luar bandar.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Johor pertama tahun 2025 di Putrajaya, pada Khamis.
#ECERDC
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor